![harian metro.gif](http://pimpmygig.com/files/9205/harian%20metro.gif)
Cari kepuasan di dasar laut
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my
Fauziah Latiff seronok sertai aktiviti selam skuba atas kesedaran memulihara hidupan laut
TIDAK semua wanita berani menceburi dunia sukan lasak. Apatah lagi sukan yang membabitkan kekuatan mental dan fizikal. Namun, ia sebaliknya bagi penyanyi popular Fauziah Latiff.
Bagi Fauziah, 36, atau lebih mesra dengan panggilan Jee, selain bidang nyanyian, cintanya adalah pada sukan lasak seperti menunggang kuda, kick-boxing dan selam skuba.
Bercerita lanjut mengenai selam skuba, Fauziah yang memiliki lesen menyelam skuba tahap ‘rescue’ berkata, dia mendapat pendedahan dalam aktiviti sukan air itu sejak kecil lagi.
“Aktiviti ini membabitkan semua anggota keluarga dan kami juga selalu menyelam skuba bersama-sama,” katanya.
Fauziah berkata, dia sangat menghargai aktiviti selam skuba kerana banyak perkara yang dipelajarinya menerusi sukan itu.
“Kepuasan akan datang dalam diri bila kita berada di dasar lautan dan pada masa sama sukan ini dapat merehatkan minda kita yang kusut.
“Saya sangat menghargai selam skuba kerana banyak perkara yang saya belajar menerusi sukan ini. Ia bukan sekadar dijadikan hobi semata-mata.
“Pada masa sama, kita boleh meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya kita sama-sama memulihara hidupan laut seperti terumbu karang.
“Selam skuba sebahagian daripada pendidikan dan saya tidak bersetuju jika orang kata aktiviti ini khusus untuk golongan tertentu saja. Bagi saya, semua orang boleh menyertai sukan ini,” katanya.
Apa yang penting, Fauziah berkata, dia mendapat kepuasan setiap kali melakukan aktiviti yang diminatinya itu.
“Cabarannya ada apabila kita berada di bawah sana (dasar laut). Selalunya saya menyelam bersama rakan dan kami juga berkongsi nota mengenai hidupan laut yang kami temui ketika menyelam itu.
“Kita juga akan mengagumi keindahan di dasar laut, contohnya ketika berada pada paras 10 hingga 15 meter di dasar laut. Sebelum menyelam, aspek keselamatan paling dititikberatkan,” katanya.
Bagi Fauziah yang mendapat lesen selam skuba di Kalimantan, aktiviti selam skuba seperti satu percutian menarik baginya.
Antara lokasi selam skuba yang sering menjadi pilihannya ialah Pulau Sipadan (Sabah), Pulau Kapas, Pulau Perhentian (Terengganu), Pulau Tioman (Johor) dan Kalimantan Timur.
Fauziah ditemui ketika sidang media pelancaran program Fiesta Laut 2007 dan pelantikannya sebagai Duyung CoRal di Pusat Akuatik, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Majlis pada pagi itu disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Liow Tiong Lai dan Presiden Persatuan Pemuliharaan Terumbu Karang Malaysia (CoRal Malaysia), Jamhariah Jaafar.
Justeru, pelantikan Fauziah sebagai Duyung CoRal seumur hidup dan ahli jawatankuasa CoRal Malaysia memang tepat pada masanya. Duta CoRal Malaysia pertama ialah penyanyi terkenal Zainalabidin dan disusuli pelukis dasar laut Malaysia pertama, Ajis Mohamad.
Fauziah mula mengenali CoRal Malaysia sewaktu menyertai program mewarna Jalur Gemilang di dasar laut ketika pembukaan tirai Bulan Kemerdekaan 2006 di Pulau Kapas, Terengganu.
Projek yang turut menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Record (MBOR) sebagai Jalur Gemilang pertama diwarnakan di dasar laut menjadi tarikan Fauziah untuk terus menyumbang tenaga bersama CoRal Malaysia dalam usaha memulihara khazanah laut negara.
Dua lagi rekod yang dilakar CoRal Malaysia sejak ditubuhkan empat tahun lalu dan diiktiraf MBOR ialah Lukisan Dasar Laut Terpanjang Malaysia/Dunia 2004 dan kumpulan pertama mengibarkan Jalur Gemilang di dasar laut sempena bulan kemerdekaan tahun lalu.
Secara peribadi, Fauziah mengakui menerusi CoRal Malaysia, dia dapat berkongsi minat dan idea bernas dengan persatuan yang dianggotai 150 ahli.
“Menerusi program dianjurkan CoRal Malaysia, saya dapat membantu meningkatkan kesedaran kepada masyarakat mengenai pentingnya memulihara terumbu karang.
“Sebagai Duyung CoRal, saya berharap dapat menyedarkan masyarakat supaya menghargai khazanah alam dan tidak memusnahkannya,” katanya yang memastikan memakai krim pelindung matahari bila melakukan aktiviti sukan air.
Mengenai kerjaya nyanyian, Fauziah merancang membuat pembungkusan semula albumnya, Pesona dan dijangka siap pertengahan tahun ini. Pesona adalah album baru Fauziah yang diterbitkan Firmzz Sdn Bhd. Ia menampilkan lagu saduran karya komposer dan pemuzik Amerika Syarikat, Jim Brickman.
Lagu berkenaan ialah Berjanjilah, Seindah Cinta, Dilema Mimpi dan Kekasihku. Selain itu, ia memuatkan empat lagu lamanya yang diberi nafas baru iaitu Digamit Memori, Segalanya Berakhir Di Sini, Hari Yang Istimewa dan Sahabat.
“Ada satu atau dua lagu baru dalam album Pesona yang akan saya buat pembungkusan semula. Satu lagu akan mendapat sentuhan komposer Ross Ariffin. Alhamdulillah, album Pesona juga mendapat sambutan menggalakkan.
“Saya juga terbabit siri promosi bergerak Superstazz On Tour 06/07 bersama artis terkenal di Pulau Pinang, Kedah, Singapura dan di Johor pada awal bulan depan.
“Album penuh pula dalam perancangan dan mungkin selepas album pembungkusan semula ini siap nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment